Selasa, 23 Februari 2016

Seminar Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera anjuran Persatuan Anak-Anak Jelebu (AAJ) Negeri Sembilan

http://www.3pteb.my/wp-content/uploads/2015/11/jelebu.jpg

JELEBU, NEGERI SEMBILAN 15 Nov – Persatuan Anak-Anak Jelebu (AAJ) telah menganjurkan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Kolej Komuniti Jelebu, Negeri Sembilan.  Lebih 90 orang perserta, terdiri daripada Ahli Persatuan dan Usahawan di sekitar Jelebu.

Program seminar ini telah dirasmikan oleh YBhg En. Haris Fadzlah Mat Ali, Presiden 3PTEB Kebangsaan.  Dalam Ucapan Aluan oleh YBhg Dato’ Hj Amran Hj Sameon yang juga Presiden Persatuan Anak-Anak Jelebu, beliau menyatakan bahawa persatuan AAJ telah lama wujud di Jelebu dan kini ahli persatuan ini berjumlah lebih daripada 7,000 orang yang berada di seluruh negara.

 Sehingga kini Persatuan AAJ beroperasi di Kuala Lumpur dan Jelebu.  Beliau menegaskan bahawa tahun lepas (2014), AAJ telah berjaya mengadakan 2 program keusahawanan dan berharap dengan kerjasama Sekretariat 3PTEB Negeri Sembilan dan Kebangsaan, AAJ boleh mengadakan program keusahawanan dan ekonomi dengan lebih kerap lagi.

Turut hadir di majlis ini ialah YBhg Dr Mohd Rashidi Abd Salam yang merupakan Pengerusi Sekretariat 3PTEB Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Kluster Akademia 3PTEB Kebangsaan dan YBhg En Mohd Khairi Yahya, Pengerusi Sekretariat 3PTEB Negeri Selangor merangkap Pengerusi Kluster Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Produk Usahawan (4PU) Kebangsaan.
Dalam ucapan balas, YBhg Dr Mohd Rashidi, telah memberikan sokongan dan kerjasama kepada AAJ untuk mengadakan program dengan lebih kerap di Jelebu.

Syarahan telah diberikan kepada dua tajuk iaitu Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dan Peluang Perniagaan yang telah disampaikan oleh YBhg En. Haris Fadzlah Mat Ali.